Home »
» Islam Menolak Kapitalisme?
Islam Menolak Kapitalisme?
Beberapa dekad kebelakangan ini menyaksikan betapa persoalan mengenai keserasian Islam dengan moderniti sering ditanya. Biasanya, persoalan tersebut akan hanya menyentuh isu-isu politik seperti Islam dan demokrasi, Islam dan pluralisma, atau Islam dan kebebasan berfikir.
Topik liberalisasi ekonomi jarang-jarang diperdebatkan apabila kita bercakap mengenai Islam dan moderniti walaupun liberalisasi ekonomi merupakan satu aspek penting dalam moderniti. Kertas ini akan cuba mencari jawapan kepada persoalan adakah sistem ekonomi liberal – iaitu sistem pasaran terbuka, atau kapitalisme – serasi dengan Islam.
Apabila ditanya “Adakah Islam menerima kapitalisme?”, kebanyakan Islamis pasti akan mengatakan “Tidak!”. Oleh kerana Islam ialah satu sistem sosio-politik atau nizam al-hayah yang lengkap, golongan Islamis biasanya menganggap kapitalisme sebagai saingan atau musuh. Penolakan terhadap komunisme dan kapitalisme telah menjadi tema yang biasa kita temui dalam kitab-kitab karya tokoh-tokoh Islamis. Sayid Qutb, ideolog agung gerakan Ikhwan Muslimin Mesir, pernah menulis sebuah kitab bertajuk Ma’arakat al-Islam wal-Ra’s Maliyya (Pertempuran antara Islam dan Kapitalisma) pada tahun 1951. Malahan, sebuah persidangan Islam di Granada, Sepanyol, yang diadakan pada Julai 2003 dan dihadiri oleh kira-kira dua ribu peserta, mengeluarkan satu seruan agar riwayat sistem ekonomi kapitalis ditamatkan
Teologi Islam dan sejarah hubungan Islam dengan perniagaan dan usaha mencari keuntungan sebenarnya tidak menjurus ke arah penolakan terhadap kapitalisme. Rasulullah s.a.w. sendiri merupakan seorang peniaga yang berjaya. Islam sejak awal-awal lagi meraikan perniagaan dan perdagangan. Islam sebenarnya amat serasi dengan sistem ekonomi kapitalis yang diperlengkapkan dengan nilai-nilai moral seperti menjaga kebajikan orang miskin dan mereka yang memerlukan.
Perdagangan, Zakat dan Al-Quran
Keserasian Islam dan kapitalisme sebenarnya telah dikaji dengan mendalam. Maxime Rodinson, seorang Marxist daripada Perancis, menyatakan dalam buku beliau bertajuk “Islam dan Kapitalisme” (1966) bahawa umat Islam terdahulu tidak pernah merasakan bahawa usaha mengumpul wang adalah satu perkara yang salah. Setelah mengkaji teks Islam dan juga sejarah ekonomi dunia Islam, Maxime Rodinson menyatakan bahawa “Terdapat sesetengah agama yang mana kitab suci mereka secara umumnya tidak menggalakkan aktiviti komersial, [tetapi] ini sama sekali bukan sikap Al-Quran. Al-Quran melihat aktiviti komersial sebagai satu perkara positif dan hanya melarang penipuan dan juga aktiviti komersial pada hari-hari kebesaran tertentu sahaja.”
Memang benar bahawa Al-Quran amat menitik beratkan keadilan sosial. Penekanan ini membuatkan sesetengah pengkaji Muslim tertarik dengan konsep-konsep sosialis termasuklah janji sosialisme untuk melahirkan “masyarakat tanpa kelas”. Jika kita meneliti Al-Quran dengan teliti, pasti sistem sosialisme atau usaha mewujudkan sistem Islam-sosialisme akan kita tolak.
Al-Quran dengan jelas menerima hakikat bahawa akan wujud golongan yang miskin dan golongan yang lebih berada. Sedikit sebanyak, pengiktirafan Islam terhadap hak untuk memiliki harta peribadi dan juga hak untuk mewariskan harta turut menyumbang terhadap penerusan kewujudan perbezaan taraf dalam masyarakat. Bagaimanapun, Islam dengan tegas memberi amaran kepada mereka yang lebih berada agar tidak membiarkan golongan miskin begitu sahaja. Al-Quran menyeru golongan berada agar sentiasa membantu golongan miskin. Zakat adalah institusi penting dalam Islam dan ia merupakan manifestasi kepada sikap pemurah yang dituntut oleh Islam. Setiap Muslim yang berkemampuan diwajibkan memberikan sebahagian harta kepada saudaranya yang kurang berada.
Zakat ialah aktiviti kebajikan yang dilakukan secara suka rela. Zakat tidak memberikan kebenaran kepada pihak berkuasa untuk menjadikan harta dan kekayaan rakyat sebagai milik negara untuk dibahagi-bahagikan. John Thomas Cummings, Hossein Askari dan Ahmad Mustafa dalam kajian ilmiah mereka bertajuk “Islam dan Cabaran Ekonomi Moden” menyatakan bahawa “Zakat pada dasarnya ialah satu tindakan suka rela yang melambangkan sifat taqwa dan ia tidak sama dengan pengalaman pembayar cukai zaman sekarang apabila berhadapan dengan kenaikan levi dan peraturan yang kompleks.” Mereka menambah lagi “Islam juga tidak menjurus ke arah perancangan sistem ekonomi atau harga seperti yang diajarkan oleh sistem Marxisme”.
Rasulullah s.a.w. pernah diminta untuk menentukan harga barangan yang dijual di pasaran kerana pada masa itu terdapat pedagang yang menjual barangan dengan harga terlalu tinggi. Baginda s.a.w. menolak permintaan tersebut. Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi, Anas bin Malik menyatakan bahawa “Apabila beberapa orang bertemu Nabi Muhammad s.a.w. dan meminta Baginda s.a.w. menetapkan harga barangan di pasaran, Baginda s.a.w. menolak seraya berkata “Allah menetapkan sesuatu keperluan dan Allah yang menentukan harga.”” Tidak salah jika kita nyatakan bahawa terdapat sedikit unsur persamaan antara kejadian tersebut dengan konsep “invisible hand” yang dipopularkan oleh Adam Smith.
Terdapat hadith-hadith lain yang meraikan perdangangan, usaha mencari keuntungan dan juga usaha mencari kesenangan dalam hidup. Seperti mana yang dikatakan oleh Maxime Rodinson,
“Muhammad bukan seorang sosialis.”
Keterbukaan Islam terhadap perdagangan merupakan salah satu faktor utama yang menyumbang kepada keagungan tamadun Muslim. Dunia umat Islam terletak di tengah-tengah “trade route” utama dunia dan para pedagang Islam mengambil manfaat dengan jayanya daripada kewujudan lingkaran “trade route” dunia ini. Malahan, para pedagang Islam telah memberi sumbangan penting terhadap pertumbuhan sistem perbankan moden. Para pedagang Islam pada zaman itu tidak mahu membawa emas sebagai matawang kerana ia mudah dicuri dan juga agak berat. Jadi, mereka memperkenalkan matawang kertas. Sistem pertukaran kredit ini kemudiannya dibawa ke Eropah oleh golongan Crusaders, terutamanya oleh puak Knights Templar.
Kejayaan umat Islam dalam perdagangan memberi sumbangan yang amat penting kepada keutuhan empayar Islam. Malahan kejatuhan tamadun Islam boleh dikaitkan dengan perubahan dalam arus
perdagangan antarabangsa. Apabila Vasco da Gama belayar mengelilingi Cape of Good Hope di Afrika Selatan pada November 1497, beliau membuka satu lembaran baru dalam sejarah dunia. Lembaran baru ini menyaksikan betapa perdagangan tidak lagi perlu menggunakan jalan-jalan darat yang merentasi Timur Tengah. Sebaliknya para pedagang antarabangsa mula menggunakan kapal laut. Akibatnya, masyarakat Arab Timur Tengah yang telah dicerobohi oleh golongan Mongol sekitar dua ratus tahun sebelum itu berhadapan dengan situasi enonomi yang langsung tidak berkembang. Empayar Uthmaniyah hanya mampu bertahan buat beberapa abad sahaja sebelum turut sama berhadapan dengan situasi ekonomi yang muram.
Kehilangan pengaruh dalam perdangangan antarabangsa mengakibatkan umat Islam hilang budaya kosmopolitan. Ini seterusnya membawa kepada kebangkitan fahaman fanatik agama dan hilangnya keterbukaan apabila berhadapan dengan pandangan yang berbeza. Akhirnya, karya-karya yang dihasilkan oleh umat Islam pada waktu itu mula memperkenalkan fahaman asetikisme melampau yang menolak usaha mencari harta, walaupun jika kita lihat sejarah umat Islam, ulama’ ulama’ terdahulu amat meraikan perdagangan dan mereka menganggap harta sebagai anugerah Allah.
Calvinist Muslim?
Jika sekiranya perkembangan tamadun Islam tidak terganggu oleh perubahan di atas, sikap pro-perdagangan yang ditunjukkan oleh Islam mungkin sekali menjadikan Islam sebagai pengganti kepada Calvinisme. Max Weber berhujah bahawa Calvinisme merupakan fahaman yang menjadi pemangkin kepada kebangkitan kapitalisme.
Max Weber mungkin tidak bersetuju dengan hujah saya kerana beliau melihat Islam sebagai agama penakluk dan pemusnah, bukan agama untuk golongan pekerja. Menurut Weber, Islam menyekat kapitalisme kerana Islam hanya melahirkan gerakan militan (jihad) atau kesusahan sahaja. Tetapi, Weber menulis dalam bukunya bertajuk Konfusianisme dan Taoisme (1915) bahawa negara China pasti tidak akan boleh berjaya dari segi ekonomi kerana budaya nepitsme yang keterlaluan. Malahan, Weber juga amat pesimis dengan kemampuan Jepun untuk menjadi kuasa ekonomi dunia. Weber melakukan kesilapan kerana beliau menganggap semua budaya bukan Kristian tidak mampu berubah mengikut kitaran masa. Weber juga tersilap dalam membaca sejarah negara-negara bukan Kristian.
Salah seorang pakar sosiologi Turki yang merupakan bekas anak murid Max Weber, Sabri F. Űlgener, pernah menulis betapa Max Weber melakukan kesilapan besar apabila mengkaji Islam. Walaupun penulisan Max Weber mengenai sejarah kelahiran kapitalisme di dunia Barat dihormati ramai, Weber gagal mengiktiraf keserasian Islam dengan sistem pasaran bebas dan terbuka.
Permasalahan Riba’
Salah satu elemen dalam sistem kapitalisme moden ialah faedah atau bunga. Al-Quran menyatakan bahawa “Allah membenarkan perdagangan dan telah mengharamkan riba”. Biasanya, kita menterjemahkan perkataan riba sebagai faedah atau bunga, dan ini menimbulkan pertembungan antara Islam dan kapitalisme.
Pertembungan ini menyebabkan umat Islam berusaha menjadikan sistem perbankan Islam sebagai satu sistem arus perdana, dan juga sebagai alternatif kepada sistem perbankan konvensional. Sistem perbankan Islam sedikit sebanyak merupakan adaptasi daripada konsep teroka modal (venture capital) yang biasa diamalkan di dunia Barat. Konsep-konsep utama sistem perbankan Islam ada yang mengadaptasi konsep konvensional seperti
pajakan, perkongsian dan perkongsian keuntungan.
Sintesis?
Jika Islam memang serasi dengan kapitalisme, maka bagaimana pula dengan pandangan Syed Qutb mengenai pertembungan antara Islam dan kapitalisme?
Walaupun sistem perbankan Islam kini membolehkan umat Islam berurusniaga dalam sistem kapitalis tanpa melibatkan diri dengan faedah, sesetengah Muslim mempersoalkan adakah faedah atau bunga yang tidak keterlaluan masih perlu dikategorikan sebagai riba. Bagi mereka, sekiranya kadar faedah yang dikenakan tidak menzalimi pengguna, maka faedah itu mungkin tidak perlu dikategorikan sebagai riba.
Jika dikaji, isu pertembungan ini bermula daripada dua faktor.
Faktor pertama ialah budaya asetik yang menyelinap masuk dalam kehidupan dan pemikiran umat Islam semasa pengaruh tamadun Islam mula menjadi lemah. Pemikiran asetik ini masih lagi amat berpengaruh di kalangan Muslim ultra-konservatif.
Pandangan ini boleh dikatakan bermula daripada abad ke 16, pada zaman kesultanan Islam Uthmaniyah. Contohnya, semasa pemerintahan Khalifah Sulaiman I (Sulaiman the Magnificent), Sheikh-ul-Islam (Ketua Hal Ehwal Agama Islam) pada waktu itu, Ebusuud Effendi, membenarkan yayasan-yayasan amal kebajikan mengutip faedah.
Faktor kedua pula ialah kebangkitan fahaman Islam radikal. Fahaman ini mula berputik semasa umat Islam menentang puak kolonialis. Matlamat utama fahaman Islam radikal ialah untuk mencipta satu sistem sosio-politik baru untuk menyaingi Barat. Oleh kerana Barat terbina atas sistem demokrasi dan kapitalisme, maka fahaman Islam radikal menuntut agar pengikutnya menentang kedua-dua sistem tersebut dan mencipta visi sistem politik dan ekonomi yang lain.
Pada masa kini pula, sesetengah pengkaji seperti Dr Imad-ad-Dean Ahmad, Presiden Minaret of Freedom Institute, cuba memberikan interpretasi baru untuk perkataan riba. Dr Imad-ad-Dean Ahmad berhujah bahawa perkataan riba bermaksud caj yang terlalu tinggi sehingga menindas pengguna. Caj tinggi tersebut mungkin dikenakan sebagai kadar faedah ataupun sebagai harga jualan sesuatu barangan. Jika harga jualan sesuatu barangan terlalu tinggi sehingga ia menindas, maka itulah riba. Sebaliknya, jika kadar faedah yang dikenakan adalah bersesuaian dengan kadar di pasaran dan tidak menindas, maka faedah itu tidak boleh dikategorikan sebagai riba.
Inilah yang menyebabkan tokoh-tokoh awal gerakan Islam radikal – seperti Syed Qutb dan Maududi – banyak meminjam idea daripada satu lagi fahaman yang digelar oleh Ian Buruma dan Avi Margalit sebagai “Occidentalism”. Fahaman “Occidentalism” ini berpunca daripada kritikan terhadap Barat yang dikemukakan oleh Heidegger. Kritikan ini kemudiannya mempengaruhi puak fasis di Jepun, puak Nazi di Jerman dan Khmer Rouge di Kemboja. Fahaman ini juga lah yang turut mempengaruhi corak pemikiran Al-Qaeda.
Bagaimanapun, sama ada faedah dibenarkan oleh Islam atau tidak bukanlah persoalan utama. Islam jelas sekali amat menggalakkan perdagangan bebas dan perniagaan. Seperti yang dikatakan oleh Maxime Rodinson, “Tuduhan bahawa Islam menentang kapitalisme adalah palsu.”
Bagaimanapun, majoriti umat Islam tidak dipengaruhi oleh fahaman “Occidentalism”. Kebanyakan umat Islam lebih selesa menjadikan Islam sebagai amalan harian diri sendiri dalam usaha mereka mencari keredhaan Allah dan kesenangan di muka bumi. Bagi golongan majoriti ini, demokrasi dan kapitalisme amat sesuai untuk mereka.
Sebuah kumpulan pengkaji, European Stability Initiative (ESI), yang berpusat di Berlin menyelidik dengan mendalam mengenai kelompok “Harimau Anatolia” ini. Para pengkaji ESI menjalankan temuramah dengan beberapa ratus peniaga Muslim konservatitf di bandar Kayseri, Anatolia. Daripada kajian tersebut mereka mendapati bahawa arus pro-perniagaan dan individualistik berkembang luas di kalangan Muslim di situ. Mereka juga menyatakan bahawa reformasi Islam secara perlahan-lahan sedang berlaku di kalangan usahawan Muslim. Kajian tersebut diberikan tajuk “Islamic Calvinists” – sesuai dengan tanggapan para pengkaji ESI terhadap golongan kapitalis Muslim di Anatolia yang tetap berpegang dengan ajaran Islam.
Contoh paling jelas yang boleh diberikan ialah apa yang berlaku di Turki sejak dua dekad kebelakangan ini. Turki bukanlah negara umat Islam yang kaya tetapi ia mungkin antara yang paling membangun. Negara umat Islam yang paling kaya adalah negara-negara Arab yang memiliki sumber minyak. Bagaimanapun, kekayaan tersebut tidak membawa pembangunan dan negara-negara itu masih banyak yang belum moden dan masih lagi berpuak-puak. Minyak membawa kekayaan tetapi tidak membawa pemodenan. Proses pemodenan hanya lahir daripada pemikiran yang rasional, ketersusunan, pertukaran idea dan keberanian mengambil risiko dalam usaha mencapai matlamat tertentu.
Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP Party) yang memegang kuasa sekarang boleh dilihat sebagai manifestasi politik fahaman “Islamic Calvinism” yang bertapak di Turki. Kebanyakan ahli AKP mempunyai pengalaman perniagaan. Parti AKP juga membawa polisi-polisi yang pro-perniagaan sejak hari pertama mereka memerintah lagi. Taib Erdogan, Perdana Menteri Turki, berulang kali menjemput pelaburan asing daripada semua negara, termasuklah daripada Israel.
Turgut Ozal, bekas Presiden Turki, pernah menyebut bahawa “Kita amat beruntung kerana kita tidak memiliki minyak dan kita perlu bekerja keras untuk mencari pendapatan.” Ozal merupakan seorang ahli politik Muslim yang pro-Barat. Reformasi Reaganesque yang dilancarkan oleh Ozal pada tahun 1980-an berjaya mengubah Turki daripada sebuah negara quasi-sosialis kepada negara kapitalis.
Persekitaran baru tersebut memberikan tapak yang subur kepada golongan Muslim konservatif di Anatolia dalam usaha mereka menerajui pembangunan sosio-ekonomi. Hasil kejayaan mereka dalam dunia perniagaan, golongan Muslim konservatif ini mendapat gelaran “Harimau Anatolia”. Mereka berjaya membentuk satu kelompok baru yang benar-benar mampu menyaingi kuasa kelompok sekular elit yang dikenali sebagai “bourgeois Istanbul”.
Dalam ucapan beliau di sebuah persidangan antarabangsa Islam, Perdana Menteri Taib Erdogan menyeru pemimpin-pemimpin Arab untuk memberikan definisi baru terhadap riba. Beliau memberi amaran bahawa sistem perbankan Islam boleh menjadi perangkap yang menghalang pembangunan dunia Muslim. Jika lebih ramai pemimpin Muslim, ulama dan intelektual yang bersuara seperti ini, maka pasti sistem pasaran – dan pemikiran – akan turut menjadi lebih bebas di Timur Tengah.
Kedegilan
Masih ada lagi umat Islam, di Turki dan di tempat lain, yang menolak kapitalisme dan menuduh kapitalisme sebagai satu konsep asing yang merosakkan Islam. Ini sebenarnya merupakan tuduhan yang tersilap.
Jika kita melihat dengan objektif kritikan terhadap kapitalisme yang diutarakan oleh umat Islam, kita akan dapat melihat bahawa perkara yang dikritik sebenarnya ialah kebebasan seksual, pelacuran, penagihan dadah, jenayah, atau sifat mementingkan diri yang berlebihan dalam dunia Barat. Semua ini sebenarnya bukan elemen utama dalam kapitalisme. Nama yang lebih tepat untuk semua perkara yang ditolak ini ialah “materialisme budaya” yang membawa maksud bahawa kebendaan diletakkan terlalu agung sehingga melebihi segala-galanya. Umat Islam yang menolak kapitalisme sebenarnya terkeliru antara kapitalisme dan materialisme budaya.
Umat Islam yang berapi-api menolak kapitalisme pasti akan terperanjat jika mereka menyedari bahawa sebahagian daripada pejuang pasaran bebas di Barat juga tegas dalam memperjuangkan ajaran agama dan kepentingan keluarga dan nilai kekeluargaan. Mereka juga memperjuangkan agar nilai-nilai agama dan kekeluargaan diterapkan dalam sistem pentadbiran. Malangnya, penyatuan demokrasi dan kapitalisme dengan nilai-nilai Judeo-Kristian yang merupakan fenomena Amerika - dan bukan budaya Eropah - kurang disedari oleh umat Islam. Budaya gereja dan budaya melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan yang sebenarnya meluas di Amerika tidak begitu menonjol dalam media antarabangsa. Sebaliknya, imej Amerika yang subur di mata umat Islam ialah imej hedonistik melalui MTV dan Hollywood.
Ringkasnya, kapitalis tidak semuanya jahat. Jika lebih ramai umat Islam menyedari perkara ini, maka lebih ramai juga yang akan lebih berani membuka masyarakat untuk menerima pembangunan dan moderniti. Dan, lebih ramai lagi juga yang akan lebih menghayati arahan Al-Quran agar “bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah rezeki yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak, supaya kamu berjaya” (Al-Jumu’ah, 10).
Jika perkara ini berlaku, maka dunia akan menjadi lebih selamat kerana pencarian rezeki yang dipandu oleh kesedaran moral adalah jauh lebih aman daripada usaha “memerangi” pencarian rezeki yang dipandu oleh rasa benci. ■
Mustafa Akyol (www.thewhitepath.com) ialah seorang penulis dan kolumnis Muslim berbangsa Turki yang menetap di Istanbul. Beliau kini sedang menulis sebuah buku dalam Bahasa Inggeris mengenai masa depan Islam dan dunia Islam.
0 komentar:
Posting Komentar